16 June, 2010

Petunjuk Sepanjang Jalan 1

Salam. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah. Jaulah pertama kami :) penuh makna dan tarbiyah di sepanjang jalan. Jadi saya lebih suka menggelarkan jaulah ini sebagai Petunjuk Sepanjang Jalan. Bagi saya dan sister muharikah yang lain, pasti masing-masing mendapat sesuatu yang bermakna di sepanjang perjalanan 6 hari ini, InsyaAllah. Moga jaulah ini telah mengikat hati-hati kami, dan takkan terputus di sepanjang jalan dakwah yang getir ini hinggalah bertemu denganNya. Amin. Jaulah kami ini juga diberi nama "Wahdatul Qulub" yakni, "Satukan Hati" :)

Segalanya bermula seusai peperiksaan AS kami.Setelah 5 minggu berhempas pulas berhadapan dengan ujian dunia, akhirnya kami dapat menumpukan sepenuh hati dengan proses-proses tarbiyah dan mendekatkan diri dengan lebih dekat lagi denganNya. Jaulah ini hanya untuk Allah dan tiada niat lain yang tidak sepatutnya.

Perjalanan bermula.

Melihat indahya alam disepanjang perjalanan.

Perjalanan bermula dari kolej, pada 1o jun yang lalu dan tiba di Bait Abrar di Penang pada malamnya. Pertama kali kami bertemu dengan sisters di Penang yang masih belajar di Penang Medical College. Pengalaman yang sangat seronok! Sisters di Abrar memang best, tambah-tambah lagi mereka menjadi contoh buat kami untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan, InsyaAllah. Saya sendiri dapat melihat bagaimana cara mereka belajar dan menguruskan diri dengan jadual yang agak padat. Walaupun sibuk, mereka tetap tidak lupa untuk melakukan kerja - kerja islah serta dakwah.

Malam itu kami cuma bertaaruf dan berkongsi cerita masing - masing. Selepas Subuh hari berikutnya pula ,kami berkongsi mengenai NIAT. Seperti yang kita tahu, semua perkara yang kita lakukan hendaklah diniatkan kerana Allah. Sebab itulah, kita perlu sentiasa memperbaharui niat dalam setiap perkara yang kita lakukan, kerana menjadi lumrah manusia sering berubah niat yang dipengaruhi faktor-faktor duniawi. Dalam hadis 40, yang pertama :

Amirul Mukminin Abi Hafsh Umar bin Khattab ra. berkata, Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,

"Sesungguhnya amal perbuatan itu disertai niat dan setiap orang mendapat balasan amal sesuai dengan niatnya. Barangsiapa yang berhijrah hanya kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahya itu menuju Allah dan RasulNya. Barangsiapa berhijrah kerana dunia yang ia harapkan atau kerana wanita yang ingin ia nikahi, maka hijrahnya itu menuju yang ia inginkan. "

Oleh hal yang demikian,mari kita bersama-sama menetapkan niat setiap masa. Ingatlah, sekiranya dunia yang kita inginkan, dunialah yang kita akan dapat, tetapi kita akan terlepas akhirat. Tetapi sekiranya kita menginginkan akhirat, nescaya kita akan mendapatnya dan dunia pula akan berserah diri kepada kita. InsyaAllah. Ini adalah janji Allah.

Esoknya pula kami bersiap - siap untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi. Kami selamat sampai di Langkawi pada petang hari itu dan menguruskan diri di tempat penginapan yang sangat istimewa :) siap ada komputer dan internet lagi. Hehe. Selepas Maghrib, kami bercerita mengenai kisah para sahabat ; merupakan salah satu sasaran kami sepanjang jaulah ini, iaitu mendalami kisah 5 sahabat : Mus'ab bin Umair, Salman Al Farisi, Abu Dzar Al Ghifari, Thalhah bin Ubaidillah dan Zaid bin Haritsah.

Maghrib itu, kisah Zaid menjadi pilihan untuk dikongsikan bersama. Zaid, antara orang-orang terawal yang memeluk Islam. Kisah para sahabat memang tidak ada yang tidak pernah menyentuh hati kami. Setiap sahabat pasti ada sifat-sifat dan sejarah sendiri yang kadangkala terlalu sukar untuk kita gapai kerana jauhnya beza tahap iman kita dengan mereka.

Secara ringkasnya, Zaid bin Haritsah merupakan lelaki bertuah yang menjadi anak angkat kesayangan Nabi Muhammad hinggakan digelar oleh para sahabat lain, "Zaid yang Sangat Disayangi". Zaid merupakan anak kecil yang pernah menjadi tawanan, dijual sebagai budak, lalu dimerdekakan Rasulullah. Tubuhnya pendek, berkulit coklat dan berhidung pesek, namun dialah laki-laki berhati lapang dan berjiwa besar. Kerana itulah dia mendapat tempat tertinggi dalam dakapan Islam dan dihati Rasulullah s.a.w. Kerana Islam dan Rasulnya tidak sedikit pun mengistimewakan kebangsawanan dan bentuk lahiriah. Firman Allah,

"Sesungguhnya yang paling mulia di antara kalian disisi Allah adalah yang paling bertakwa" (Al-Hujurat : 13)

Ketika Perang Mu'tah, iaitu perang antara orang-orang Romawi dengan Islam, Zaid telah dipilih sebagai salah seorang daripada tiga orang panglima yang dilantik oleh Rasulullah iaitu Ja'far bin Abi Thalib, dan Abdullah bin Rawahah. Mereka menjadi panglima perang secara berturutan. Sekiranya Zaid gugur syahid, maka Ja'far menggantikan posisi Zaid, dan sekiranya Ja'far gugur syahid, Abdullah pula menggantikannya. Seolah - olah Rasulullah telah mengetahui perjalanan pertempuran yang akan berlangsung. Ternyata ketiga-tiga panglima itu gugur syahid secara berturutan di medan perang itu.

Pertempuran itu disertai 200 ribu tentera Romawi, yang jauh lebih ramai daripada tentera Islam. Pasukan Islam tidak gentar dan terus maju. Zaid menunggang kuda dengan tangkasnya, sambil memegang erat bendera pasukan. Ia berdebat ke sana kemari di celah desingan anak panah, hujung tombak dan pedang musuh. Ia tidak mencari kemenangan perang, tetapi lebih memilih syurga yang dijanjikan bagi orang-orang yang syahid di medan perang.

Di mata Zaid, yang tampak bukanlah padang pasir Balqa', atau pasukan Romawi, tetapi taman-taman syurga yang hijau berombak laksana kibaran bendera, yang menyambutnya lakasana pengantin baru. Ia ayunkan pedang dengan dengan tangkas, bukan untuk membunuh musuh, tetapi untuk melapangkan jalannya menuju taman indah yang luas membentang, taman keabadian di sisi Tuhannya.

Akhirnya, Zaid mendapatkan impiannya. Rohnya yang sedang terbang menuju syurga itu tersenyum melihat medan yang ditinggalkannya.Medan itu tidak terbungkus sutera halus, namun terselimuti darah suci yang mengalir untuk memperjuangkan agama Allah.

Maha Suci Allah, saya sangat tersentuh ketika diceritakan saat-saat Zaid bertempur. Seperti ingin mengalirkan air mata tika mendengarnya. Teguhnya iman beliau, kuatnya semangat beliau dalam memperjuangkan agama Allah dan dapat dilihat betapa kuatnya pegangan beliau dalam melakukan segala-galanya kerana Allah sahaja dan tiada yang lain.

Malam itu kami semua tidur bersama dan menantikan hari esok yang pernuh dengan kejutan:)

with love, shared by Chupa Chups!^^

No comments: