12 April, 2011

Al-Kisah Mukhayyam : Ada berani?

 Masanya telah tiba. Inilah detiknya, perang bermula!

" Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. " (Al-Baqarah:216)

Kami telah dibahagikan kepada dua angkatan. Mujahidah, merupakan nama angkatan perang saya. Kami akan bertempur dengan TUM (which stands for Tabuk Uhud Mu'tah). Senjata kami adalah belon-belon air yang comel dan berwarna-warni serta pelbagai saiz. Kami menggunakan air yang telah dicampurkan dengan water colour agar kesan serangan belon lebih nyata, jelas dan terang pada musuh yang terkena lontaran belon kame hame ha kami. HAHA. 

Setiap angkatan perang ditugaskan untuk melantik Panglima, Pemegang Panji dan Penyair. Alhamdulillah, setelah bersyura maka terlantiklah Panglima Harisah, Pemegang Panji Nadhirah dan Penyair Ain. Manakala saya sebagai pasukan pertahanan. Kami bergerak pantas dengan adanya pemimpin-pemimpin hebat dan sudah tentu tentera yang bersemangat lagi gagah dan tak takut mati (nama pun Mujahidah kan? hehe). Kami bermula dengan proses penyediaan senjata dan strategi perang. Walaupun kami tidak bernasib baik kerana tidak dapat memilih lokasi perang sendiri (kalah dalam toss coin), tapi itu tidak langsung melunturkan semangat kami yang berkobar-kobar berperang kerana Allah. Huhu. 

Angkatan perang lawan telah memilih lokasi strategik iaitu di bahagian atas bukit, jadi kami terpaksa mengambil posisi di kawasan lereng bukit. Tapi, kami tidak mengeluh dan berputus harapan kerana lokasi tidak menjanjikan apa-apa. Kemenangan itu milik Allah, tiada apa pun yang dapat menjanjikan kemenangan selain Allah. Kita buka balik lembaran sejarah Perang Badar, walaupun bilangan tentera Islam hanya terdiri daripada 313 orang dan tentera musyrikin Mekah pula seramai 1000 orang, tetapi kemenangan menjadi milik Islam juga.

" ... Dan tidak ada kemenangan itu, selain dari Allah yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana." (Ali-'Imran:126)

Peperangan bermula dengan penyair bertindak menaikkan semangat tentera. Penyair Ain dengan penuh pengharapan kepada Allah mengingatkan kami dengan perjuangan anak-anak di bumi Palestina.

" Sahabatku! Ingatlah akan anak-anak Palestina di sana. Yang tubuhnya lebih kecil daripada antunna semua, jauh lebih muda dari kita! Tapi mereka tak pernah sekali-kali takut dengan musuh-musuh Allah! Mereka yakin dengan janji Allah. Allahuakbar! "

Disepanjang perjalanan ke tapak peperangan, kami bertakbir dan menetapkan niat kami berperang. Tibanya di tapak, pasukan lawan sudah bersedia di posisi masing-masing dengan bertakbir juga. Kadang-kadang terasa juga gerun, berdebar (walaupun hanya bersenjatakan belon air) tapi inilah perasaan-perasaan yang muncul waktu itu. Macam mana pulalah ketika peperangan sebenar pada zaman Rasulullah dan para sahabat. MasyaAllah. Tak dapat nak gambarkan! Tentunya perasaan itu lebih dahsyat. Tapi kerana iman dan akidah yang teguh, semangat Baginda dan para sahabat tidak pernah padam.

" Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu pasukan (musuh), maka berteguh hatilah dan sebutlah (nama) Allah banyak-banyak (berzikir dan berdoa) agar kamu beruntung." (Al-Anfal:45)

Peperangan bermula dengan penyair bertindak menaikkan semangat denagan bertakbir, menakutkan pihak lawan dan mula mengapi-apikan pihak lawan untuk mula bertindak. Tapi, kami mengambil masa yang agak lama sebelum belon pertama dilontarkan. Oleh kerana terlalu lama masa yang diambil sebelum bermula pelontaran belon-belon cumil warna warni itu, kami memulakan tindakan dengan menyerbu kawasan pihak lawan. Hiyyyyyahhhhhhh! Medan peperangan mula berasap, huru-hara dan kabut. huhu. Belon demi belon dilontarkan, dari arah kiri kanan depan dan belakang. Tambah pula dengan keadaan yang hujan renyai menyebabkan pergerakan langkah tak terkawal dek kelicinan cerun bukit. Syahidah demi syahidah mula gugur meninggalkan kami yang masih hidup berjuang di medan. 

Mengingatkan saya akan satu ayat dalam Al-Quran mengenai mereka yang gugur dijalan Allah. Mereka ini hidup dalam alam lain, mendapat nikmat di sisi Allah, dan Allah saja yang mengetahui bagaimana kehidupan di alam itu.

" Dan janganlah kamu mengatakan orang-orang yang terbunuh dijalan Allah (mereka) telah mati. Sebenarnya (mereka) hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya. " (Al-Baqarah:154)

Dengan strategi licik, tangkas lagi bergaya, Pemegang Panji Nadhirah dan Laksamana Ana (suka hati guna term laksamana. haha :P) mengambil langkah ke kawasan pihak musuh. Alhamdulillah! Tembakan mengena. Panji kami berjaya dipacakkan di puncak bukit kawasan tentera musuh! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Mujahidah semuanya berlari ke puncak bukit yang menyaksikan kemenangan kami dalam pertempuran ini. (serius, feeling best punya time nieh. huhu) Angkatan TUM juga tak kurang hebatnya. Dengan semangat mereka, Pemegang Panji pihak lawan terus berlari turun bukit (situasi sebenar : sampai bergolek-golek, memang aksi hebat) ingin memacakkan panji mereka juga. Tapi sudah terlewat kerana pasukan kami terlebih dahulu sampai. Hehehe.

Peperangan pun tamat.

Selepas berperang, kami duduk dan berfikir sejenak. Ukhti M memberikan sedikit ulasan dan berkongsi pengalaman sendiri sebelum ini. Kemudian kami diberi peluang berkongsi pendapat dan ibrah yang telah kami perolehi daripada War Game ini. Alhamdulillah.

Setiap perkongsian daripada masing-masing berbeza namun arahnya sama. Semuanya akan berbalik pada Allah, dan kerana Allah jua kami bersama hari itu. Ada yang mengingatkan kami, kalaulah permainan perang ini masih tidak menyedarkan kita lagi akan usaha Rasulullah dan para sahabat ketika mereka menyebarkan Islam dahulu, tak tahulah nak cakap apa lagi. Rasulullah dan para sahabat dahulu berperang untuk Islam. Bukan untuk kemenangan pada masa itu, tapi untuk kemenangan Islam hingga ke hari ini! Orang Islam dahulu berkorban nyawa, sanggup melakukan apa saja mempertahankan Islam dan menentang musuh Allah, hinggakan pelepah tamar pun selagi mampu akan digunakan untuk berlawan. Satu perkongsian penuh perasaan, hingga semua menitiskan air mata.

Waktu peperangan itu juga, terlalu banyak ibrah yang saya peroleh. Kita sering gusar dan takut akan kehilangan apa yang kita miliki. Kita berharap apa yang kita miliki itulah yang akan membantu kita. Seperti dalam perang tersebut, saya amat sukar untuk melepaskan peluru belon air saya kerana risau tidak mengena. Saya tidak mahu kehilangan belon air dengan begitu mudah selain daripada khuatir akan keselamatan diri sendiri, kalau saya kena serang saya dah takde belon nak campak :P Tapi, Alhamdulillah Allah ketuk pintu hati saya waktu itu juga. Bukankah kita seharusnya berserah dan bergantung pada Allah? Pada Allah semata-mata! Bukan peluru, bukan kekuatan dan kelebihan yang nampak pada zahirnya. Lakukan saja, berusaha, ikut gerak hati dan pada masa yang sama berserahlah pada Allah untuk menentukan pengakhirannya. Jika Allah mentakdirkan kemenangan, kita akan menang walau tanpa senjata. Kalau Allah mentakdirkan kekalahan, biarlah senjata canggih mana pun kita takkan rasa nikmat kemenangan itu hatta walau secebis. 

" Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap." (As-Syarh:8)

Disamping itu, mengingatkan diri akan saudara Islam kita yang berada di kawasan pergolakan terutamanya Palestin. Kami sewaktu awal War Game ini sangat teragak-agak mengambil langkah, takut dengan lontaran belon air. Belon je pun! Di manakah seruan kita yang mengajak orang lain berjuang dijalan Allah? Kalau keberanian hanya bertahan hingga setakat dibaling belon air, di manakah nilai kita disisi Allah?? (air mata bercucuran T_T) Terbayang akan anak-anak kecil Palestina yang berani melawan musuh Allah, walau hanya berbekalkan batu-batu kecil di jalan sebagai senjata. Berbanding musuh yang bersenapang, tapi mereka tak pernah takut! Mereka lemparkan batu sehabis daya walau pada dasarnya memang mustahil akan melukakan musuh apatah lagi membunuhnya. Allahuakbar! Moga Allah memberi kemenangan kepada umat Islam dan menempatkan mereka di tempat terbaik di sisi Allah. Amin.

Ingatlah, dan sentiasa mengingatkan diri sendiri juga. Adakah kita nak biarkan usaha Rasulullah yang tak tergambar kepayahannya dibiar begitu saja? Adakah kita hanya mampu mendengar dan melihat, tapi tak berbuat apa-apa? Apa usaha kita meneruskan perjuangan Baginda? Dimana nilai kita disisi Allah dan Rasulullah, sekiranya kita hanya mampu berpeluk tubuh?

Astagfirullah. Astagfirullah. Astagfirullah.

Wallahua'lam.


chupachups

4 comments:

NA said...
This comment has been removed by the author.
NA said...

Jazakillah chupa chups atas perkongsian yang sangat detail..wah:D

bersemangat anti ni, hehe.. bagos2

nak lagi^_^

Akhawat Muharikah said...
This comment has been removed by the author.
Akhawat Muharikah said...

jzkk chupachups!
moga smgt kita utk tegakkan islam d bumi ini sama seperti para sahabat..wlaupun sy sedar bhwa hakikatnya usaha kita jauh lbih kecil bbanding mereka...

*vanvochelle*